Thursday, September 26, 2013

AMANAH SEBUAH KEPERCAYAAN !!!

Maaf sekiranya sedikit terlewat mengemaskini blog ini. Biasalah terlalu banyak amanah yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Amanah memang sangat besar dan memberi bebanan kepada kita. tetapi kita berhak untuk menerima atau menolaknya. Sekali kita sudah menerimanya, maka harus kita pegang sehingga selesai kesemuanya.

Tetapi hari ini, ramai antara kita tidak sedar bahawa amanah itu adalah sebuah KEPERCAYAAN orang lain terhadap kita. Bila perkara itu tidak difikirkan dengan baik, sebab itulah amanah sering dikorbankan. Ramai antara kita yang sering pecah amanah sedangkan mereka tahu bahawa mereka menerima amanah daripada mereka yang betul-betul mempercayainya sehingga kan "Pesan Tak Berturuti, Petaruh Tak Berhunyikan".

Sedar atau tidak, pecah amanah ini sebenarnya sebuah kelakuan yang sangat tidak boleh diterima. Janganlah kita membuat mereka yang mempercayai kita ini merasakan seperti "Telunjuk Mencocok Mata, Pancing Makan Umpan, Pagar Makan Padi, Sokong Membawa Rebah".

Ramai yang tidak mengetahui bahawa "Sekali Lancung Keujian, Seumur Hidup Orang Tak Percaya", sekali kita membuat sesuatu kelakuan yang tidak baik, selama kita hidup pasti ada yang tidak akan mempercayai kita. Apatah lagi bila kita bermain dengan urusan AMANAH ini. betapa besar nya sesebuah kepercayaan seseorang itu dalam memberikan amanah untuk kita pegang dan jaga dengan baiknya.

Berpeganglah kepada amanah yang diberikan. Janganlah kita jadikan ia sebagai sebuah barang mainan untuk kita hancurkan kepercayaan yang telah mereka serahkan. Sedarlah akan kemampuan diri yang telah Allah kurniakan. Sekiranya tidak mampu memegang sesebuah amanah itu, maka berkata benarlah agar suatu hari nanti perbuatan kita tidak menghampakan. Bukan sahaja menghampakan diri kita tetapi juga seluruh kenalan dan mereka yang memberikan kepercayaan.

Janganlah kita membuat kesilapan dan "Jangan Menyuruh Kapak Menyelam Beliung".

No comments: