Thursday, September 26, 2013

AMANAH SEBUAH KEPERCAYAAN !!!

Maaf sekiranya sedikit terlewat mengemaskini blog ini. Biasalah terlalu banyak amanah yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Amanah memang sangat besar dan memberi bebanan kepada kita. tetapi kita berhak untuk menerima atau menolaknya. Sekali kita sudah menerimanya, maka harus kita pegang sehingga selesai kesemuanya.

Tetapi hari ini, ramai antara kita tidak sedar bahawa amanah itu adalah sebuah KEPERCAYAAN orang lain terhadap kita. Bila perkara itu tidak difikirkan dengan baik, sebab itulah amanah sering dikorbankan. Ramai antara kita yang sering pecah amanah sedangkan mereka tahu bahawa mereka menerima amanah daripada mereka yang betul-betul mempercayainya sehingga kan "Pesan Tak Berturuti, Petaruh Tak Berhunyikan".

Sedar atau tidak, pecah amanah ini sebenarnya sebuah kelakuan yang sangat tidak boleh diterima. Janganlah kita membuat mereka yang mempercayai kita ini merasakan seperti "Telunjuk Mencocok Mata, Pancing Makan Umpan, Pagar Makan Padi, Sokong Membawa Rebah".

Ramai yang tidak mengetahui bahawa "Sekali Lancung Keujian, Seumur Hidup Orang Tak Percaya", sekali kita membuat sesuatu kelakuan yang tidak baik, selama kita hidup pasti ada yang tidak akan mempercayai kita. Apatah lagi bila kita bermain dengan urusan AMANAH ini. betapa besar nya sesebuah kepercayaan seseorang itu dalam memberikan amanah untuk kita pegang dan jaga dengan baiknya.

Berpeganglah kepada amanah yang diberikan. Janganlah kita jadikan ia sebagai sebuah barang mainan untuk kita hancurkan kepercayaan yang telah mereka serahkan. Sedarlah akan kemampuan diri yang telah Allah kurniakan. Sekiranya tidak mampu memegang sesebuah amanah itu, maka berkata benarlah agar suatu hari nanti perbuatan kita tidak menghampakan. Bukan sahaja menghampakan diri kita tetapi juga seluruh kenalan dan mereka yang memberikan kepercayaan.

Janganlah kita membuat kesilapan dan "Jangan Menyuruh Kapak Menyelam Beliung".

Friday, September 20, 2013

JANJI YANG DI KHIANATI !!

"Beralih Kain di Balik Rumah, Beralih Cakap di Balik Lidah"

Betul ke apa yang dimaksudkan dengan maksud yang disampaikan di sebalik peribahasa ini?
Itulah masalah manusia hari ini. JANJI di ibarat sebagai bahan mainan. Janji dijadikan bahan gurauan. Janji dimungkiri, perhubungan dikhianati.

ramai hari ini dalam kalangan kita yang "Murah di Mulut, Mahal di Timbangannya", "Kata Tidak Dipegangnya, Janji Tidak Ditepatinya". Penceraian menjadi pengakhiran, persaudaraan bermusuh-musuhan, persahabatan tiada kekalan. Sedar atau tidak ini berpunca daripada JANJI YANG DIKHIANATI.

Sedar atau tidak.. "Titian Biasa Lapuk, Janji Biasa Mungkir" . mereka yang sering memungkiri janji ini bila sampai waktu nya, tidak ramai lagi yang mampu mempercayai kata-katanya. menjadi permasalahan kerana segelintir mereka ini sebenarnya mampu memburukkan keadaan yang telah kita bina dengan baik.

Beringatlah "Adat Diisi, Janji Dilabuh", "Ya Sepanjang Hari, Janji Sepanjang Jalan".

Ada pepatah mengatakan "Kerbau Dipegang Pada talinya, Manusia Dipegang Pada janjinya". apa yang boleh dikatakan, mereka yang memungkiri dan mengkhianati janji, barangkali KERBAU lebih baik daripada mereka. Bukan saya kata, pepatah ini yang mengatakannya.

Berpeganglah pada janji. sekiranya kita sudah tidak mampu berpegang pada janji yang kita ungkapi, berterus teranglah agar mereka tidak merasa dikhianati. Jangan biarkan mereka mengetahui nya sendiri kerana itu mampu menyakiti. keadaan itu sebenarnya keadaan yang sangat dibenci.

"Kata Dulu Bertepati, Kata Kemudian Berceraian".

Saturday, September 7, 2013

ERTI SEBUAH MATLAMAT

Salam.. Akhir nya dapat juga update blog ni.. Bukan mudah untuk kita mengurus masa dalam perjalanan kehidupan kita dengan keadaan yang tidak mengizinkan ini..

Begitu juga dalam menguruskan perjalanan kita dalam menempuh segalanya demi mencapai MATLAMAT yang kita cipta. Bukan mudah untuk kita mencapai sesebuah matlamat dengan jayanya. Dalam kita mencapai matlamat, PENGORBANAN amatlah penting dalam perjuangan ke arah matlamat yang kita sendiri cipta.
Tetapi, pengorbanan itu bukanlah pengorbanan yang tiada had nya. Ingat, dalam pengorbanan perlu juga ada sempadan di mana sempadan itu membawa makna yang halal dan haram. Maruah perlu dijaga dalam pengorbanan yang kita lakukan kerana "Matlamat Tidak Menghalalkan Cara".

Saya ada terbaca beberapa Teori Pengurusan di mana matlamat yang kita ingin capai itu haruslah 'S.M.A.R.T'

Specific
Measureable
Achievable
Relevant
Time-lined

ACHIEVABLE :
Matlamat yang kita tetapkan itu haruslah matlamat yang datangnya dengan KEYAKINAN dan mampu untuk kita capai. Keadaan yang memaksa adakalanya membuatkan kita meletakkan sesuatu matlamat yang terlalu tinggi buat kita.. tidak perlulah kita mengimpikan gunung dan langit, bulan dan bintang jika kita tidak mampu menggapainya.
Bukan tidak boleh tetapi takut nanti "Buah Masak Tergantung Tinggi; Akan Dijolok Penggalah Singkat, Akan Ditingkat Batangnya Licin"

Biarlah apa yang kita impikan itu sesuatu yang realistik. kerana risau bila kita mengejar sesuatu adakalanya kita terlepas sesuatu. Kata orang lama "Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran".

TIME-LINED :
Matlamat kita haruslah sesuatu yang punya jangka masa. sama ada jangka masa perjalanan kita ke arah capainya matlamat itu atau jangka masa kita menunggu tercapainya matlamat itu.. kerana apa menunggu? kerana adakala nya, bukan kita yang menetapkan jangka masa itu, tetapi matlamat itu sendiri yang menetapkan jangka masanya.

Sebab itulah dalam kita melangkah arus ke arah matlamat, perlu ada KESETIAAN dan KESABARAN. Kesetiaan kita mmenunggu itu sangat penting dalam perjuangan mencapai matlamat kita. Dalam kesetiaan kita, pasti ada liku-liku dan cabaran yang mendatangi kita.

maka di sini datang dan perlu nya kesabaran dalam perjalanan kita. Kita perlu faham perjalanan kita mencapai sesebuah matlamat itu "Seperti Kain Kasa di Atas Duri". Jika hendakkan kain itu, maka harus bersabar dan berhati-hati dalam percaturannya.

Ingat "Sabar Penghilang Penat, Tekun Pembawa Dekat".